Monday, February 15, 2010

...hEnTiKaN MeNiRu kEkArUtAn VaLeNtInE...




Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada umatnya melalui hadis yang bermaksud;
``Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, dia turut termasuk bersama golongan itu.''

HARI ini 14 Februari, ramai pasangan kekasih mengambil kesempatan meraikan sambutan Hari Memperingati Kekasih.

Mereka menghadiahkan kekasih hati dengan hadiah-hadiah menarik di samping kad-kad ucapan yang penuh syahdu bagi merakamkan perasaan mereka.

Pelik juga, kenapa tanggal 14 Februari sahaja untuk mengingati kekasih. Kenapa tidak hari-hari lain. Kekasih sepatutnya diingati setiap hari.

Sebenarnya, budaya ini asalnya dipercayai bagi memperingati kematian seorang paderi Kristian, St. Valentine, yang memperjuangkan kasih sayang antara manusia tetapi dihukum bunuh pada tarikh ini kerana mengingkari perintah rajanya.

Hari ini sambutan tersebut menular bukan sahaja di kalangan orang Kristian, malah Islam, khususnya remaja yang sebenarnya langsung tidak tahu menahu asal-usul sambutan tersebut.

Mereka sekadar meniru budaya orang lain tanpa mengetahui sejarahnya, hatta kesannya kepada akidah agama.

Budaya ikut-ikutan ini bukan perkara baru di kalangan orang Melayu. Black Metal, punk, rock dan sebagainya bukan budaya Melayu tetapi pengamalnya yang ramai adalah remaja Melayu.

Tidak salah memperingati orang yang dikasihi. Islam sendiri menggalakkan umatnya berkasih sayang tetapi dengan cara yang ditetapkan oleh agama suci itu.

Konsep kasih sayang dalam Islam amat luas, tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Islam juga tidak menetapkan hari-hari khusus untuk berkasih sayang.

Sebab itu, Islam mengajar umatnya melahirkan kasih sayang kepada Allah dan Rasul-Nya tidak pada hari-hari tertentu sahaja, malah setiap saat.

Dalam Islam, kasih sayang yang afdal ialah kepada Allah, Rasulullah, kedua ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak.

Lahirkan kasih sayang kepada orang yang dicintai dengan cara betul berlandaskan ajaran Islam, bukan meniru bulat-bulat budaya asing yang bertentangan dengan budaya Melayu, tata susila Timur dan ajaran Islam sendiri.

Ajaran Islam adalah syumul, lengkap dan sempurna meliputi soal-soal kehidupan harian hingga kepada pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara.

Sehubungan itu, tidak ada sebab umat Islam meniru budaya asing khususnya yang bertentangan dengan ajaran islam.




No comments: