Wednesday, January 13, 2010

...mAntApkAn pEngHuJaHAn iSu kAlimAh ALLAh...

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia ada hak dalam Perlembagaan pada 31 Disember 2009 mencetuskan kemarahan masyarakat Islam.Sebabnya, keputusan itu dilihat akan mengelirukan masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Antara alasan paling kuat mengapa keputusan itu ditentang adalah para penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan lafaz jalalah = gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang turut memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Sememangnya umat Islam membantah keputusan itu tetapi bantahan sahaja tidak menyelesaikan masalah. Ia perlu disusuli dengan tindakan perundangan supaya isu ini diselesaikan sekali dan selama-lamanya.

Namun, dalam undang-undang hujah dari segi agama tidak mendapat perhatian hakim kerana keputusan penghakiman dibuat tertumpu kepada alasan-alasan perundangan.

Demikian ditegaskan oleh Fellow Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob.

Katanya, walaupun keputusan hakim itu menimbulkan rasa kurang senang dan bantahan majoriti umat Islam, Mahkamah Sivil tidak terikat dengan apa-apa fatwa.

Menurut beliau, mahkamah juga tidak menimbangkan apa dukacita akibat keputusan penghakimannya yang dibuat.

"Ia hanya terikat dengan penghakiman mahkamah yang lebih tinggi daripadanya. Dalam kes sivil ini pula, Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa menafsirkan Perlembagaan," katanya.

Menurut Monir, apa yang perlu dilakukan kini adalah mempersiapkan hujah-hujah yang kukuh apabila di Mahkamah Rayuan kelak.

"Yang penting dalam mahkamah adalah kekuatan hujah bukannya siapa yang menjadi hakim. Sebabnya institusi kehakiman itu perlu adil," jelas beliau.

Sementara itu, Ab. Aziz berkata, memang golongan bukan Islam pernah mengguna kalimah Allah sebagai mana dinyatakan dalam al-Quran. Antaranya dalam ayat 73 surah al-Maaidah yang bermaksud: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah adalah salah satu daripada tiga tuhan, padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan tuhan yang Maha Esa.

Demikian juga dalam ayat 18 surah al-Maaidah yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani berkata: Kami adalah anak-anak Allah dan sangat-sangat disayangi-Nya...

Namun, tegas beliau, penggunaan nama Allah oleh golongan kafir itu terbahagi kepada dua tempat.

"Pertama, mengiktiraf dengan sifat Allah dan kedua, membuat tuduhan atau salah percaya terhadap Allah.

"Kebimbangan kita adalah penggunaan kalimah Allah ini hanya untuk tempat kedua iaitu fahaman yang silap terhadap Allah," katanya.

Ab. Aziz turut mempersoalkan tujuan akhbar tersebut menggunakan kalimah Allah kerana yang nyata ia mudah mengelirukan umat Islam yang baru mengenali agama suci ini.

Katanya, apabila kalimah Allah itu sama diguna pakai oleh kristian, jadi ia tidak terasa asing atau pelik.

"Jadi ia mudah diterima dan mungkin juga agenda tersembunyi untuk mengelabui mata umat Islam.

"Kalimah ini disukai kerana ia ada tarikan dan akan memerangkap golongan yang lemah pengetahuan Islam mereka," jelasnya.

"Masyarakat Islam juga perlu diberi perhatian supaya kelemahan penghayatan boleh diatasi," kata beliau.

Walaupun bukan Islam sudah menggunakan perkataan Allah sebelum ini tetapi yang selalu digunakan adalah Rabb (tuhan). Penggunaan kalimah Allah oleh orang Arab musyrik pula adalah dalam bacaan sembahyang mereka.

"Cuma kalau keputusan Mahkamah Rayuan kelak tidak memihak kepada kita, tindakan balas kita adalah penting.

"Kita perlu membuat persediaan termasuk dalam kurikulum di sekolah supaya anak-anak Muslim tidak mudah terpesong atau dikelirukan dengan penggunaan kalimah ini," tegasnya.

utusan Malaysia (ARKIB 12/1/2010)

No comments: